Saturday, May 3, 2008

Program Peningkatan Bahasa Melayu Tahun Enam SJKT


Bertempat di SJK(T) Gunung Rapat,Ipoh, pada 08/05/2008 nanti akan diadakan Program Peningkatan Bahasa Melayu Bagi Murid-Murid Tahun Enam Sekolah-Sekolah Tamil Kinta Utara. Program ini dijalankan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pencapaian murid-murid sekolah SJKT yang mungkin menghadapi masalah menguasai Bahasa Melayu. SJK(T) Ladang Chemor akan menghantar lima orang murid tahun enam sebagai wakil sekolah. Pihak sekolah menaruh harapan tinggi agar program yang dijalankan nanti dapat meningkatkan prestasi pencapaian Bahasa Melayu di sekolah ini. Semoga keliam-lima wakil sekolah itu nanti akan memberi tumpuan sepanjang program berlangsung. Selamat maju jaya buat Kanisha a/p Thambyraja, Anusha a/p Annadurai, Ashvini a/p Munivanan, Muhammad Solehudin b. Rasol dan Keerthyneemalar a/p Krishnan.

Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia SJKT & SJKC




Baru-baru ini iaitu pada 16/04/2008 dua orang wakil sekolah ini telah menyertai Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia SJKT & SJKC Zon B,Kinta Utara. Dua orang wakil tersebut ialah Kanisha a/p Thambyraja dan Keerthyneemalar a/p Krishnan, murid tahun enam. Pertandingan tersebut telah diadakan di SJK( C ) Chung Tack, Simee, Ipoh. Penyertaan mereka telah diiringi oleh Tuan Guru Besar iaitu Puan Mary Paripuranam dan Cikgu Jayanthi. Tuan Guru Besar telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap pertandingan ini dengan sentiasa memantau latihan kedua-dua wakil itu tadi. Biarpun kedua-dua wakil sekolah ini hanya mendapat sijil penyertaan, namun kecekalan dan semangat waja kedua-dua peserta sangat dikagumi. Mereka tidak jemu-jemu berlatih, menghafal fakta dan menguasai bahan syarahan. Cuma, mungkin pada kali ini nasib belum menyebelahi mereka. Ayuh, cuba lagi pada tahun-tahun akan datang!

Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu


Dua orang wakil SJK(T) Ladang Chemor iaitu adik Thevan Thanga Kaliswaran dan Anuusha (Murid Tahun Tiga) telah menyahut cabaran menjadi peserta pertandingan syarahan yang diadakan di SK Syed Idrus, Chemor. Pertandingan ini telah diadakan untuk memilih wakil Zon 1 Kinta Utara ke pertandingan peringkat daerah. Biarpun tidak memenangi apa-apa tempat dan hanya memperoleh sijil penyertaan, namun keberanian kedua-dua wakil sekolah ini sangat dikagumi dan dihargai. Kedua-duanya telah memberikan persembahan yang baik dan menarik tetapi hakikatnya masih ada lagi peserta yang lebih baik daripada kedua-duanya. Adik Anuusha misalnya sangat petah bercerita dan dapat menyampaikan seluruh cerita dengan menarik dan berkesan. Cuma, kelemahan yang ada ialah cerita yang disampaikan tidak melebihi lima minit yang disyaratkan. Pihak kami akan cuba memperbaik kelemahan ini pada masa akan datang dan cuba memastikan peserta tidak menyampaikan cerita terlalu laju hingga menyebabkan masa bercerita kurang daripada apa yang disyaratkan. Apapun, kedua-dua peserta berpotensi untuk dididik menjadi wakil yang lebih mantap pada tahun akan datang.Selamat maju jaya kepada Thevan dan Anuusha.

Moga Tak Banjir Lagi


Kenapa kami takut hujan lebat turun?

Pihak pentadbir, guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah ini seringkali dilanda perasaan bimbang setiap kali hujan lebat turun. Kenapa ? Kalau hujan lebat turun, maka air dari sungai berdekatan akan melimpah masuk ke pejabat, bilik Guru Besar, bilik guru, kelas-kelas dan seluruh kawasan sekolah. Air bercampur lumpur akan memasuki dan mengotorkan seluruh bangunan sekolah. Pada bulan Julai 2007 iaitu ketika bulan pertama aku menjejakkan kaki di sekolah ini, banjir kilat berlaku selepas hujan lebat beberapa jam.Terkejut besar aku apabila sampai ke sekolah keesokan harinya. Kawasan sekolah dipenuhi lumpur tebal dan fenomena ini rupa-rupanya berlaku beberapa kali setiap tahun. Banjir membawa kemudaratan kerana bukan sahaja murid-murid tidak dapat belajar dan kakitangan sekolah tidak dapat bertugas dengan selesa, banjir juga merosakkan harta benda.Mengikut maklumat yang aku terima,semasa banjir beberapa tahun yang lalu, banyak peralatan termasuk CPU komputer telah musnah.Aku tunggu juga kalau-kalau ada ikan besar yang tersadai tapi tak pernah pula aku terjumpa. He! He!.Akhir-akhir ini masalah ini dapat dikurangkan apabila sungai berhampiran sekolah dikorek dan diperdalam. Hendak-hendaknya pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang, tiada lagi banjir kilat yang menyusahkan ini bertandang lagi ke sekolah ini. Kita sama-sama tunggu!

Kejohanan Olahraga Tahunan Ke-22

Pada 01 Mac 2008 yang lalu bertempat di padang sekolah, telah diadakan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-22 SJK(T) Ladang Chemor. Kejohanan olahraga ini diadakan sebagai mengisi calendar aktiviti tahunan sekolah dan sebagai arena bagi murid-murid menunjukkan bakat mereka dalam bidang sukan.

Pihak Jawatankuasa Pengelola Kejohanan yang merangkumi pihak pentadbiran sekolah, dibantu oleh Jawatankuasa PIBG, guru-guru dan kakitangan serta murid-murid telah merancang segala perkara berkaitan kejohanan oahraga ini seawal bulan Januari lagi bagi memastikan segalanya berjalan mengikut jadual.Bermula dengan mesyuarat kejohanan yang pertama maka selepas itu segala urusan surat-menyurat, persiapan peralatan dan kelengkapan, persiapan padang,sambutan perasmian dan sebagainya telah disusun dan diatur sebaik mungkin. Sebaik sahaja mendapat kelulusan JPN, maka urusan mengumpulkan sumbangan bagi dana sukan pun bermula. Kutipan derma ini adalah bagi membantu menampung perbelanjaan sukan termasuk pembelian beberapa peralatan baru kerana peralatan lama telah rosak.

Pihak Jawatankuasa Pengelola telah menjemput YB Dato haji Ahmad Husni Hanadzlah,Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Tambun untuk merasmikan kejohanan pada kali ini. Pihak jawatankuasa amat berbesar hati apabila YB Dato Haji Ahmad Husni telah memberikan persetujuan. Bagaimanapun, oleh kerana selepas minggu beliau memberikan persetujuan tarikh pilihanraya telah diumumkan dan beliau terpaksa menolak jemputan pada saat akhir kerana perlu memberikan khidmat kepada parti tetapi kami amat berbesar hati kerana beliau telah menghantar Ketua Pemuda Tambun iaitu Encik Nasir b. Haji Ismail sebagai wakilnya.

Seawal pukul 7.30 pagi murid-murid telah berkumpul di padang sekolah. Guru-guru rumah sukan membuat persiapan akhir sebelum kejohanan bermula. Pihak jawatankuasa kejohanan pula sibuk melengkapkan persiapan termasuk memastikan semua kelengkapan dan peralatan untuk acara olahraga telah tersedia. Murid-murid diberi taklimat akhir bagi perbarisan lintas hormat yang akan menjadi acara pembuka gelanggang.Selepas itu kami hanya menunggu ketibaan tetamu jemputan dan dif-dif kehormat. Para ibu bapa mula sampai di padang menjelang pukul 8.30 pagi.

Kejohanan olahraga tahunan ke-22 ini dimulakan dengan perbarisan lintas hormat sebaik-baik sahaja tetamu kehormat tiba pada pukul 9.30 pagi. Selepas perbarisan, murid-murid menyanyikan Kadavul Valthu, nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah.

Selepas perbarisan tamat, acara seterusnya ialah ucapan alu-aluan Pengerusi PIBG , En. Manimaran. En. Manimaran antara lain telah menyentuh tentang keadaan sekolah yang sering dilanda banjir dan memohon jasa baik tetamu kehormat iaitu Encik Nasir menyampaikan permohonan pihak PIBG dan pihak sekolah supaya diberikan tapak sekolah yang baru bagi mengatasi masalah banjir tersebut. Permasalahan kedua yang diutarakan ialah keadaan kantin sekolah yang kecil.En. Manimaran juga telah memaklumkan hadirin bahawa selama ini pihak sekolah sangat berpuas hati dengan segala bentuk bantuan kewangan dan peralatan yang telah disumbangkan oleh pihak Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah dan berharap hubungan baik ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Apabila tiba giliran Guru Besar SJK(T) Ladang Chemor iaitu Pn. K. Sangari berucap, beliau juga telah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah yang telah menghantar wakilnya hadir. Beliau juga telah mengulangi permintaan En. Manimaran supaya dua permasalahan utama sekolah ini dapat diberi perhatian oleh YB Dato Haji Ahmad Husni.

En. Nazri b. Ismail selaku wakil YB Dato Ahmad Husni Hanadzlah telah menyampaikan salam daripada YB Dato yang tidak dapat hadir atas komitmen yang lain(kempen pilihanraya). Beliau juga telah berjanji bahawa dua permintaan yang diutarakan pihak sekolah akan disampaikan kepada YB Dato Haji Ahmad Husni. Beliau juga berharap semua warga pendidik dan ibu bapa di sekolah ini akan sentiasa meneruskan kerjasama yang baik demi melancarkan proseskan pengajaran pembelajaran dan hal-hal berkaitan pendidikan.

Seterusnya bacaan ikrar disampaikan oleh kontijen rumah sukan diketuai Mohd Solehudin M. Rasol dengan penuh semangat ;

Kami, murid-murid SJK(T) Ladang Chemor berikrar,
kami akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan
Kali Ke-22 ini, dengan penuh tenaga dan semangat kesukanan,
serta akan patuh dan taat setia, kepada undang-undang dan tatatertib sukan.

Upacara perasmian kejohanan kali ini telah disempurnakan oleh En. Nazri selaku wakil YB Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau telah memotong riben besar yang dipasang pada pagar ‘balai perasmian’ dan kemudian menarik tali yang menjadikan banner kejohanan terbuka dan dapat ditonton oleh orang ramai.

Sebaik sahaja selesai persembahan gimrama oleh kumpulan gimrama sekolah, acara olahraga pun dijalankan.

Antara acara kejohanan olahraga pada tahun ini ialah lari pecut 75m(Lelaki dan Perempuan C ), 100m( Lelaki dan Perempuan A , B ), Larian Membawa Obor ( Kumpulan C ), Lari Berganti-Ganti 4 X 200 Antara Sekolah ( Lelaki & Perempuan ) , 400m (Bekas Murid), 200m(Bekas Murid), Larian Membawa Bola Ping Pong Dengan Sudu ( Lelaki dan Perempuan B ), Larian Atas Tempurung ( Lelaki dan Perempuan A ), Lari Berganti-Ganti 4 X 200 Antara Rumah ( Lelaki dan Perempuan A ), Lari Berganti-Ganti 4 X 100 Antara Rumah ( Lelaki dan Perempuan B ), Lari Bawa Lilin ( Acara Ibu ), Tiup Belon ( Acara Bapa ), Cabutan Bertuah ( Pegawai Sukan ) dan Tarik Tali ( Antara Rumah ).

Murid-murid telah mengambil bahagian dan berusaha bersungguh-sungguh dan penuh semangat kesukanan untuk memenangi setiap acara yang mereka sertai. Sorakan dan sokongan ahli-ahli rumah sukan telah menjadikan padang riuh-rendah dengan suara mereka dan menceriakan kejohanan kali ini.

Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Nasir b. Haji Ismail (Wakil YB Dato Husni Hanadzlah ) dan Encik Thawamani Sellamuthu ( Penyelia Sekolah Tamil Daerah Kinta Utara ).

Rumah Biru telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, naib johan ialah Rumah Merah dan tempat ketiga ialah Rumah Kuning. Murid Tahun Enam iaitu Jayaveeran dan Kavitha telah diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2008.

Guru Besar, guru-guru, PIBG, murid-murid dan staf sokongan SJK(T ) Ladang Chemor dengan sukacitanya berbesar hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberikan kerjasama, sumbangan tenaga, kewangan, buah fikiran sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan kejohanan olahraga tahunan kali ke-22 ini.

Semoga pada tahun-tahun mendatang, kejohanan olahraga ini akan dapat dijalankan dalam suasana yang lebih meriah , dengan lebih banyak acara dan penyertaan murid-murid sekolah lain bagi acara jemputan.

“SUKAN UNTUK SEMUA” 07 MAC 2008.

Sukaneka 2008

LAPORAN PERJALANAN SUKANEKA 2008
SJK(T) LADANG CHEMOR, 31200 CHEMOR, PERAK.

Pada 28 Februari 2008 ( Khamis ) yang lalu bertempat di padang sekolah, telah diadakan acara sukaneka bagi menjalankan acara-acara yang tidak diadakan pada hari kejohanan olahraga pada 01 Mac 2008 nanti.

Walaupun pihak urusetia bercadang mahu menjalankan acara sukaneka ini pada awal pagi namun hujan renyai yang turun tanpa henti-henti sejak dari pukul 7.00 pagi lagi telah menyebabkan aktiviti ini ditangguhkan selepas waktu rehat. Kira-kira pukul 11.00 pagi, acara sukaneka dijalankan. Bagaimanapun, hanya acara sukan sahaja dijalankan manakala acara perbarisan dan ucapan perasmian sukaneka telah dibatalkan kerana gangguan hujan pada awal pagi tersebut.

Antara acara sukaneka yang dijalankan adalah seperti berikut :

Acara Sukaneka :
Gelecek Bola Hoki ( L & P –A )
Lari Skipping ( L & P – B )
Isi Air Dalam Botol ( L & P – C )
Tarik Tali ( Antara Rumah )

Bagi acara Gelecek Bola Hoki, setiap rumah sukan perlu menyediakan 11 orang peserta iaitu campuran murid lelaki dan perempuan. Lari Skipping bagi kategori lelaki dan perempuan B pula memerlukan 14 orang peserta manakala bagi acara Isi Air Dalam Botol, 13 orang murid lelaki dan perempuan bagi setiap rumah diperlukan. Pihak urusetia telah mengambil keputusan, mana-mana rumah sukan yang kekurangan peserta boleh menggunakan peserta yang sama untuk bermain lebih dari satu kali.

Suasana di padang bertukar menjadi gamat dan riuh-rendah dengan bunyi sorakan ahli-ahli rumah sukan Biru, Merah dan Kuning yang memberikan sokongan padu kepada rumah sukan masing-masing. Acara yang paling meriah dan menghiburkan ialah acara Isi Air Dalam Botol kerana telatah murid-murid tahap satu mengisi air memang menjadikan suasana gamat kerana ada peserta yang mahir mengisi air tetapi ada juga peserta yang telah menyebabkan air yang telah diisi semakin berkurangan kerana sikap panik telah menyebabkan botol terjatuh.

Saringan Tarik Tali terpaksa dibatalkan ekoran permintaan daripada beberapa guru rumah sukan yang tidak dapat mengumpulkan wakil rumah mereka kerana ada sebahagian kecil rumah sedang mewakili sekolah dalam beberapa acara MSSPK yang berlangsung pada tarikh yang sama.

Acara-acara sebelum sukan yang lain seperti lompat jauh (Lelaki dan perempuan terbuka), lompat tinggi (Lelaki dan perempuan terbuka), 200m ( Lelaki dan Perempuan A,B ) telah dijalankan seminggu sebelum acara sukaneka ini.

Sebaik sahaja acara sukaneka selesai, acara penyampaian hadiah terpaksa dilakukan di dalam dewan sekolah kerana hujan semakin lebat. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan , AJK PIBG dan beberapa tetamu jemputan.

Semoga pada tahun-tahun akan datang, sukaneka dapat dijalankan dengan lebih meriah, lebih banyak acara dan lebih ramai penyertaan murid.



“SUKAN UNTUK SEMUA” 05 MAC 2008.