Friday, November 21, 2008

Sabar Je Le!



Keputusan U.P.S.R 2008 sudah pun diketahui. Buat murid-murid Tahun Enam SJKTLC, tahniah jika berjaya tetapi jika gagal memperoleh keputusan yang dihajatkan, harap bersabar saja le. Apa boleh buat. Kita sudah cuba sedaya upaya dan bermacam-macam aktiviti telah dibuat. Memang kecewa juga apabila tiada seorang pun yang dapat 7A tetapi perkara yang sudah berlaku tidak mungkin dapat diputar kembali.Kita mesti belajar mesti belajar menerima hakikat.

Sambutan Kemerdekaan Ke-51 Peringkat Sekolah




























Sungguh meriah! Hanya itulah yang dapat menggambarkan suasana sambutan bulan kemerdekaan negara kita ,Malaysia peringkat sekolah di SJK(T) Ladang Chemor pada bulan ogos yang lalu.Sambutan bulan kemerdekaan ini diadakan secara sederhana tetapi meriah.

Friday, June 20, 2008

Khusyuknya!


Kanak-kanak, bersama-sama fitrah istimewa pinjaman Tuhan Rabbul-Jalil terbukti mempunyai bakat belajar dan memahami sesuatu dengan cara mereka sendiri. Kekhusyukan mereka terhadap aktiviti pembelajaran melibatkan komputer dan akses internet adalah bukti kenyataan ini. Biarkan mereka belajar dan menerima apa yang diajar dengan cara sendiri. Nah, hasilnya tidak mengecewakan. Mereka dapat menangkap apa yang diajar dan disampaikan oleh tenaga pengajar dan fasilitator dengan cepat dan berjaya memupuk keyakinan diri dan sedikit sebanyak sikap berdikari. Pembelajaran dengan cara yang sebegini lebih bermakna dan berkesan.


Wednesday, June 18, 2008

Kem KPerak Kidz 2008

Kem Dato' Sagor, Kampung Gajah telah menjadi tempat berkampung 12 kumpulan murid-murid sekolah rendah daerah Kinta.Terdapat lapan kumpulan yang berjaya menghadirkan diri biarpun kalau mengikut perancangan asal sepatutnya ada 12 kumpulan yang dijemput.Selama lima hari empat malam kumpulan murid-murid ini akan diberi pendedahan aspek-aspek yang berkaitan komputer dan ICT. Tahniah buat KPERAK INC Coperation selaku penganjur utama program yang dinamakan KPERAK KIDZ CAMP 2008 ini dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Perak, Yayasan Perak dan Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli.Kem ini diadakan berdasarkan objektifnya utuk menerapkan ilmu ICT yang berterusan, menjana keyakinan diri,idea bijak dan semangat jitu di kalangan peserta.Antara aktiviti yang dijalankan selama tiga hari itu ialah Pengenalan PC, Pengenalan Internet dan Email, Open Office.org(Draw, Writer, Calc dan Impress), Karya ICT dan Penggunaan Kamera Digital,Motivasi Pelajar, Persembahan Pelajar dan Explorace hijau.
Terima kasih yang tidak terhingga buat pihak penganjur,Pengurus Program,fasilitator,penyedia makanan serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kem ini. Kem ini memang dapat membawa manfaat yang besar kepada murid-murid khususnya murid-murid sekolah luar bandar yang serba kekurangan kemudahan komputer dan pengetahuan berkaitan ICT. Semoga segala ilmu yang diperoleh di sini dapat dipraktikkan apabila kembali ke sekolah nanti. Jutaan terima kasih buat semua fasilitator yang sentiasa ceria, riang gembira, penuh idea dan cita,mesra pelanggan, sabar dan komited dengan tugas mereka. Kami kagum dengan anda! Semoga usaha murni anda dapat diteruskan.Tahniah dan teruskan kecemerlangan ini.

Fasilitator yang prihatin. Terima kasih kak!



Para peserta bergambar selepas membuat pendaftaran.



Barisan Fasilitator yang sangat komited dengan tugas mereka.Tahniah!


Begitu khusyuk dan sangat berminat melayari internet.

Pengurus Program, Cik Ogy yang sangat "sporting"

Jika anda mahu melihat lebih banyak gambar, klik SINI.






Thursday, May 22, 2008

Bukan Salah Konfigurasi .....


Pada pagi Khamis, 22/05/2008, aku dengan bantuan Abang Yusoff telah membuat konfigurasi dan talaan talian internet pada beberapa buah komputer yang telah dipastikan dalam keadaan baik ( selepas beberapa lama membetulkan sambungan papan kekunci dan tetikusnya ). Aku yang bersemangat untuk melihat seberapa banyak komputer yang boleh mendapat liputan internet telah membuat konfigurasi. Berpeluh-peluh aku membuatnya tetapi liputan internet masih tidak dapat lagi. Berpuluh-puluh kali semakan dibuat dan aku memang yakin sambungan dan konfigurasi yang aku buat tepat. Aduh, apa pula sebabnya? Bermacam-macam cara aku lakukan tetapi masih gagal. Akhirnya aku menelefon wakil GITN iaitu Encik Fuad dan bertanyakan pendapatnya. Beliau telah bertanyakan tentang cara sambungan dan konfigurasi yang aku buat dan aku menjelaskannya. Beliau menyatakan tidak ada masalah dengan apa yang aku buat. Beliau pun hairan kenapa liputan internet tidak diperoleh. Akhirnya terlintas di hatiku untuk membuat semakan terhadap kabel berwarna kuning yang menghubungkan Port Switch dengan Router. Ceh, rupa-rupanya benda yang menyebabkan aku berpeluh-peluh lebih sejam hanyalah kerana bahagian penyambung kabel senget dan sambungan tidak stabil! Memang menguji kesabaran. Selepas kabel tersebut dibuat sambungan semula, segala-galanya selesai. Rasa-rasanya mahu sahaja aku membakar kabel tersebut. Heh! Heh! Pada kesempatan ini aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan

Disambar Kilat


Tinggal beberapa hari lagi sebelum kursus Pembinaan Blog dimulakan, timbul pula masalah pada talian internet sekolah ini. Aduh, pening kepala ! Kabel internet kena panahan petir pula. Wayar jadi hitam. Itupun pada awalnya aku tidak tahu benda tu kena panahan kilat dan hanya pasti apabila wakil GITN iaitu seorang pekerja telekom datang membuat siasatan selepas laporan dibuat. Ingatkan hanya wayar sahaja tetapi rupa-rupanya Router pun musnah. Selepas talian yang baru diwujudkan ( dipindahkan terus ke bilik komputer) barulah dapat dikesan masalah tersebut. Aduh, kena buat satu lagi aduan! Mujur pula keesokan harinya datang pula seorang lagi wakil GITN iaitu En. Fuad untuk menyelesaikan masalah tersebut. Lega! Selepas ini aku boleh meneruskan tugas untuk menyediakan beberapa buah komputer dengan keupayaan internet. Belum tahu lagi berhasil atau tidak kerana keadaan fizikal beberapa buah komputer di bilik komputer memang meragukan. Tidak mengapa. Aku akan jadikannya sebagai cabaran. Minta-minta usaha aku berhasil kerana pada 26/05/2008 nanti aku memang memerlukan talian internet kerana kursus tersebut melibatkan penggunaan internet secara langsung. Tunggu!

Friday, May 16, 2008

Meriahnya Sambutan Hari Guru!


Awal-awal pagi lagi sudah kelihatan murid-murid begitu bersemangat untuk merayakan Hari Guru di sekolahku pada tahun ini. Sebaik sahaja guru-guru sampai ke sekolah, mereka berebut-rebut menghulurkan tangan dan mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" Wah, peka juga murid-murid SJK(T) Ladang Chemor ini. Biarpun sebelum ini ada di antara mereka yang agak "n" sedikit tetapi apabila mereka menghulurkan salam dan mengucapkan perkataan keramat itu, hati jadi sejuk pula. Aku leka memerhatikan bagaimana murid-murid di sini begitu ceria pada sambutan Hari Guru kali ini. Baguslah kalau begitu. Cikgu Jayanthi selaku Koordinasi Sambutan Hari Guru 2008 memang telah bersedia dengan pelbagai aktiviti sambutan. Biarpun aku tidak dapat terlibat sama sepenuhnya dalam acara yang dijalankan kerana terpaksa menyiapkan data PTK tetapi aku difahamkan acara tahun ini sangat meriah.Ada persembahan murid yang pelbagai bentuk dan ada permainan untuk guru-guru. Aku sendiri diminta oleh Cikgu Jayanthi untuk menyediakan sejenis permainan. Walaupun pada mulanya aku mahu menjalankan aktiviti cantum gambar tetapi pada malamnya aku berubah hati kerana ketiadaan gambar yang sesuai. Jadi aku telah mereka soalan Kuiz Santai untuk rakan-rakan guru dan mereka menjawab soalan dalam bentuk kumpulan.

Selepas bacaan Perutusan Hari Guru dan ucapan Pengerusi PIBG dan Tuan Guru Besar dan persembahan sajak oleh M. Solehudin, acara pada hari ini diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang terlebih awal. Terima kasih buat semua guru dan murid yang bersungguh menjayakan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Syabas!

SELAMAT HARI GURU


SELAMAT HARI GURU buat semua guru di SJK(T) Ladang Chemor. Semoga terus tekun, tabah dan gigih berbakti kepada anak murid. Segala rintangan yang berlaku adalah asam garam kehidupan. Usah jemu berbakti. Kalam siapakah pengukir cita dan jaya, didiari anak-anak yang damba ke mercu? Kuatkan semangat tingkatkan iltizam anda. Selamat maju jaya.

Monday, May 5, 2008

Jadual Latihan Dalam Perkhidmatan


Perhatian buat semua guru SJK(T) Ladang Chemor,

Berikut disenaraikan tarikh-tarikh bagi kursus yang dimaksudkan :


1. Kursus Pembinaan Blog pada 26/05/2008 ,disampaikan oleh En. Abu Bakar B.Mat Som .


2. SP Chart dan Headcount pada 27/05/2008, disampaikan oleh En. Prabakaran a/l Shanmugam Achary


3. SEGAK pada 28/05/2008, disampaikan oleh En. V.Eagambaram Naicker a/l Velayuti


4. Keselamatan Jalan Raya pada 18/08/2008,disampaikan oleh Pn. Jayanthi a/p Sadhananthan


5. Kursus Publisher pada 19/08/2008, disampaikan oleh Pn. Kai Punggodi a/p Kaivalyam


6. Aplikasi Muzik Dalam P & P pada 13/09/2008, disampaikan oleh Pn. Hema a/p Ratnam


7. Penjilidan Buku & Fail Tegak pada 11/10/2008, disampaikan oleh Pn. Regina Jana a/k Merilyn Jana

Tarikh-tarikh di atas tertakluk kepada pindaan yang akan dimaklumkan. Sekiranya tiada perubahan tarikh, maka aktiviti yang tersenarai akan dijalankan sebagaimana yang dirancang.

Selamat berkursus.

Hebahan oleh,
ABU BAKAR MAT SOM
Setiausaha Latihan Dalaman
SJK(T) Ladang Chemor,
31200 Chemor,
Perak Darul Ridzuan.

Saturday, May 3, 2008

Ujian Bertulis PSUB


Pihak sekolah mengucapkan selamat berjaya kepada kelima-lima wakil sekolah yang akan menyertai Ujian Bertulis PSUB Kinta Utara di SJK( C ) Wan Hwa 1, Ipoh pada 10/05/2008, iaitu pada hari Sabtu terdekat ini. Kelima-lima wakil tersebut ialah Kanisha a/p Thambyraja, Muhammad Solehudin b. Rasol, Ashvini a/p Munivanan, Thevan a/p Thanga Kaliswaran dan Anusha a/p Annadurai. Guru pengiring bagi aktiviti ini ialah Cikgu Regina Jana. Semoga berjaya !