Saturday, May 3, 2008

Sukaneka 2008

LAPORAN PERJALANAN SUKANEKA 2008
SJK(T) LADANG CHEMOR, 31200 CHEMOR, PERAK.

Pada 28 Februari 2008 ( Khamis ) yang lalu bertempat di padang sekolah, telah diadakan acara sukaneka bagi menjalankan acara-acara yang tidak diadakan pada hari kejohanan olahraga pada 01 Mac 2008 nanti.

Walaupun pihak urusetia bercadang mahu menjalankan acara sukaneka ini pada awal pagi namun hujan renyai yang turun tanpa henti-henti sejak dari pukul 7.00 pagi lagi telah menyebabkan aktiviti ini ditangguhkan selepas waktu rehat. Kira-kira pukul 11.00 pagi, acara sukaneka dijalankan. Bagaimanapun, hanya acara sukan sahaja dijalankan manakala acara perbarisan dan ucapan perasmian sukaneka telah dibatalkan kerana gangguan hujan pada awal pagi tersebut.

Antara acara sukaneka yang dijalankan adalah seperti berikut :

Acara Sukaneka :
Gelecek Bola Hoki ( L & P –A )
Lari Skipping ( L & P – B )
Isi Air Dalam Botol ( L & P – C )
Tarik Tali ( Antara Rumah )

Bagi acara Gelecek Bola Hoki, setiap rumah sukan perlu menyediakan 11 orang peserta iaitu campuran murid lelaki dan perempuan. Lari Skipping bagi kategori lelaki dan perempuan B pula memerlukan 14 orang peserta manakala bagi acara Isi Air Dalam Botol, 13 orang murid lelaki dan perempuan bagi setiap rumah diperlukan. Pihak urusetia telah mengambil keputusan, mana-mana rumah sukan yang kekurangan peserta boleh menggunakan peserta yang sama untuk bermain lebih dari satu kali.

Suasana di padang bertukar menjadi gamat dan riuh-rendah dengan bunyi sorakan ahli-ahli rumah sukan Biru, Merah dan Kuning yang memberikan sokongan padu kepada rumah sukan masing-masing. Acara yang paling meriah dan menghiburkan ialah acara Isi Air Dalam Botol kerana telatah murid-murid tahap satu mengisi air memang menjadikan suasana gamat kerana ada peserta yang mahir mengisi air tetapi ada juga peserta yang telah menyebabkan air yang telah diisi semakin berkurangan kerana sikap panik telah menyebabkan botol terjatuh.

Saringan Tarik Tali terpaksa dibatalkan ekoran permintaan daripada beberapa guru rumah sukan yang tidak dapat mengumpulkan wakil rumah mereka kerana ada sebahagian kecil rumah sedang mewakili sekolah dalam beberapa acara MSSPK yang berlangsung pada tarikh yang sama.

Acara-acara sebelum sukan yang lain seperti lompat jauh (Lelaki dan perempuan terbuka), lompat tinggi (Lelaki dan perempuan terbuka), 200m ( Lelaki dan Perempuan A,B ) telah dijalankan seminggu sebelum acara sukaneka ini.

Sebaik sahaja acara sukaneka selesai, acara penyampaian hadiah terpaksa dilakukan di dalam dewan sekolah kerana hujan semakin lebat. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan , AJK PIBG dan beberapa tetamu jemputan.

Semoga pada tahun-tahun akan datang, sukaneka dapat dijalankan dengan lebih meriah, lebih banyak acara dan lebih ramai penyertaan murid.



“SUKAN UNTUK SEMUA” 05 MAC 2008.

No comments: