Saturday, May 3, 2008

Kejohanan Olahraga Tahunan Ke-22

Pada 01 Mac 2008 yang lalu bertempat di padang sekolah, telah diadakan Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-22 SJK(T) Ladang Chemor. Kejohanan olahraga ini diadakan sebagai mengisi calendar aktiviti tahunan sekolah dan sebagai arena bagi murid-murid menunjukkan bakat mereka dalam bidang sukan.

Pihak Jawatankuasa Pengelola Kejohanan yang merangkumi pihak pentadbiran sekolah, dibantu oleh Jawatankuasa PIBG, guru-guru dan kakitangan serta murid-murid telah merancang segala perkara berkaitan kejohanan oahraga ini seawal bulan Januari lagi bagi memastikan segalanya berjalan mengikut jadual.Bermula dengan mesyuarat kejohanan yang pertama maka selepas itu segala urusan surat-menyurat, persiapan peralatan dan kelengkapan, persiapan padang,sambutan perasmian dan sebagainya telah disusun dan diatur sebaik mungkin. Sebaik sahaja mendapat kelulusan JPN, maka urusan mengumpulkan sumbangan bagi dana sukan pun bermula. Kutipan derma ini adalah bagi membantu menampung perbelanjaan sukan termasuk pembelian beberapa peralatan baru kerana peralatan lama telah rosak.

Pihak Jawatankuasa Pengelola telah menjemput YB Dato haji Ahmad Husni Hanadzlah,Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Tambun untuk merasmikan kejohanan pada kali ini. Pihak jawatankuasa amat berbesar hati apabila YB Dato Haji Ahmad Husni telah memberikan persetujuan. Bagaimanapun, oleh kerana selepas minggu beliau memberikan persetujuan tarikh pilihanraya telah diumumkan dan beliau terpaksa menolak jemputan pada saat akhir kerana perlu memberikan khidmat kepada parti tetapi kami amat berbesar hati kerana beliau telah menghantar Ketua Pemuda Tambun iaitu Encik Nasir b. Haji Ismail sebagai wakilnya.

Seawal pukul 7.30 pagi murid-murid telah berkumpul di padang sekolah. Guru-guru rumah sukan membuat persiapan akhir sebelum kejohanan bermula. Pihak jawatankuasa kejohanan pula sibuk melengkapkan persiapan termasuk memastikan semua kelengkapan dan peralatan untuk acara olahraga telah tersedia. Murid-murid diberi taklimat akhir bagi perbarisan lintas hormat yang akan menjadi acara pembuka gelanggang.Selepas itu kami hanya menunggu ketibaan tetamu jemputan dan dif-dif kehormat. Para ibu bapa mula sampai di padang menjelang pukul 8.30 pagi.

Kejohanan olahraga tahunan ke-22 ini dimulakan dengan perbarisan lintas hormat sebaik-baik sahaja tetamu kehormat tiba pada pukul 9.30 pagi. Selepas perbarisan, murid-murid menyanyikan Kadavul Valthu, nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah.

Selepas perbarisan tamat, acara seterusnya ialah ucapan alu-aluan Pengerusi PIBG , En. Manimaran. En. Manimaran antara lain telah menyentuh tentang keadaan sekolah yang sering dilanda banjir dan memohon jasa baik tetamu kehormat iaitu Encik Nasir menyampaikan permohonan pihak PIBG dan pihak sekolah supaya diberikan tapak sekolah yang baru bagi mengatasi masalah banjir tersebut. Permasalahan kedua yang diutarakan ialah keadaan kantin sekolah yang kecil.En. Manimaran juga telah memaklumkan hadirin bahawa selama ini pihak sekolah sangat berpuas hati dengan segala bentuk bantuan kewangan dan peralatan yang telah disumbangkan oleh pihak Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah dan berharap hubungan baik ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Apabila tiba giliran Guru Besar SJK(T) Ladang Chemor iaitu Pn. K. Sangari berucap, beliau juga telah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah yang telah menghantar wakilnya hadir. Beliau juga telah mengulangi permintaan En. Manimaran supaya dua permasalahan utama sekolah ini dapat diberi perhatian oleh YB Dato Haji Ahmad Husni.

En. Nazri b. Ismail selaku wakil YB Dato Ahmad Husni Hanadzlah telah menyampaikan salam daripada YB Dato yang tidak dapat hadir atas komitmen yang lain(kempen pilihanraya). Beliau juga telah berjanji bahawa dua permintaan yang diutarakan pihak sekolah akan disampaikan kepada YB Dato Haji Ahmad Husni. Beliau juga berharap semua warga pendidik dan ibu bapa di sekolah ini akan sentiasa meneruskan kerjasama yang baik demi melancarkan proseskan pengajaran pembelajaran dan hal-hal berkaitan pendidikan.

Seterusnya bacaan ikrar disampaikan oleh kontijen rumah sukan diketuai Mohd Solehudin M. Rasol dengan penuh semangat ;

Kami, murid-murid SJK(T) Ladang Chemor berikrar,
kami akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan
Kali Ke-22 ini, dengan penuh tenaga dan semangat kesukanan,
serta akan patuh dan taat setia, kepada undang-undang dan tatatertib sukan.

Upacara perasmian kejohanan kali ini telah disempurnakan oleh En. Nazri selaku wakil YB Dato Haji Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau telah memotong riben besar yang dipasang pada pagar ‘balai perasmian’ dan kemudian menarik tali yang menjadikan banner kejohanan terbuka dan dapat ditonton oleh orang ramai.

Sebaik sahaja selesai persembahan gimrama oleh kumpulan gimrama sekolah, acara olahraga pun dijalankan.

Antara acara kejohanan olahraga pada tahun ini ialah lari pecut 75m(Lelaki dan Perempuan C ), 100m( Lelaki dan Perempuan A , B ), Larian Membawa Obor ( Kumpulan C ), Lari Berganti-Ganti 4 X 200 Antara Sekolah ( Lelaki & Perempuan ) , 400m (Bekas Murid), 200m(Bekas Murid), Larian Membawa Bola Ping Pong Dengan Sudu ( Lelaki dan Perempuan B ), Larian Atas Tempurung ( Lelaki dan Perempuan A ), Lari Berganti-Ganti 4 X 200 Antara Rumah ( Lelaki dan Perempuan A ), Lari Berganti-Ganti 4 X 100 Antara Rumah ( Lelaki dan Perempuan B ), Lari Bawa Lilin ( Acara Ibu ), Tiup Belon ( Acara Bapa ), Cabutan Bertuah ( Pegawai Sukan ) dan Tarik Tali ( Antara Rumah ).

Murid-murid telah mengambil bahagian dan berusaha bersungguh-sungguh dan penuh semangat kesukanan untuk memenangi setiap acara yang mereka sertai. Sorakan dan sokongan ahli-ahli rumah sukan telah menjadikan padang riuh-rendah dengan suara mereka dan menceriakan kejohanan kali ini.

Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh En. Nasir b. Haji Ismail (Wakil YB Dato Husni Hanadzlah ) dan Encik Thawamani Sellamuthu ( Penyelia Sekolah Tamil Daerah Kinta Utara ).

Rumah Biru telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, naib johan ialah Rumah Merah dan tempat ketiga ialah Rumah Kuning. Murid Tahun Enam iaitu Jayaveeran dan Kavitha telah diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2008.

Guru Besar, guru-guru, PIBG, murid-murid dan staf sokongan SJK(T ) Ladang Chemor dengan sukacitanya berbesar hati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberikan kerjasama, sumbangan tenaga, kewangan, buah fikiran sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan kejohanan olahraga tahunan kali ke-22 ini.

Semoga pada tahun-tahun mendatang, kejohanan olahraga ini akan dapat dijalankan dalam suasana yang lebih meriah , dengan lebih banyak acara dan penyertaan murid-murid sekolah lain bagi acara jemputan.

“SUKAN UNTUK SEMUA” 07 MAC 2008.

No comments: