Friday, May 16, 2008

Meriahnya Sambutan Hari Guru!


Awal-awal pagi lagi sudah kelihatan murid-murid begitu bersemangat untuk merayakan Hari Guru di sekolahku pada tahun ini. Sebaik sahaja guru-guru sampai ke sekolah, mereka berebut-rebut menghulurkan tangan dan mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" Wah, peka juga murid-murid SJK(T) Ladang Chemor ini. Biarpun sebelum ini ada di antara mereka yang agak "n" sedikit tetapi apabila mereka menghulurkan salam dan mengucapkan perkataan keramat itu, hati jadi sejuk pula. Aku leka memerhatikan bagaimana murid-murid di sini begitu ceria pada sambutan Hari Guru kali ini. Baguslah kalau begitu. Cikgu Jayanthi selaku Koordinasi Sambutan Hari Guru 2008 memang telah bersedia dengan pelbagai aktiviti sambutan. Biarpun aku tidak dapat terlibat sama sepenuhnya dalam acara yang dijalankan kerana terpaksa menyiapkan data PTK tetapi aku difahamkan acara tahun ini sangat meriah.Ada persembahan murid yang pelbagai bentuk dan ada permainan untuk guru-guru. Aku sendiri diminta oleh Cikgu Jayanthi untuk menyediakan sejenis permainan. Walaupun pada mulanya aku mahu menjalankan aktiviti cantum gambar tetapi pada malamnya aku berubah hati kerana ketiadaan gambar yang sesuai. Jadi aku telah mereka soalan Kuiz Santai untuk rakan-rakan guru dan mereka menjawab soalan dalam bentuk kumpulan.

Selepas bacaan Perutusan Hari Guru dan ucapan Pengerusi PIBG dan Tuan Guru Besar dan persembahan sajak oleh M. Solehudin, acara pada hari ini diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang terlebih awal. Terima kasih buat semua guru dan murid yang bersungguh menjayakan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Syabas!

No comments: